September 15, 2015

Sulit & Rahsia - Prakata:

1. Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca dan pelawat blog kecil ini. Nama saya Benign Nor Hafeez. Mungkin terdapat sebahagian daripada pembaca yang mengenali saya daripada blog Susor Galor, sebuah blog yang mengumpulkan hasil galian dan pembacaan saya tentang alam melayu, sebelum ini. Saya akan menjadi pemandu pelancong (tour guide) anda sepanjang anda berada didalam blog ini.

2. Bertahun lamanya saya menyepikan diri daripada bidang penulisan sejarah alam melayu dek kerana ketiadaan masa untuk mengkaji, membaca dan seterusnya menulis. Disamping kekangan sumber-sumber rujukan yang saya mahukan, kesibukan menguruskan kehidupan juga telah menyebabkan blog Susor Galor menjadi sebuah blog yang dorman. Namun hari ini, saya kembali dengan sebuah blog yang baru yang diberi nama Sulit & Rahsia.

Serpihan mural Pompeii.
3. Apakah yang bakal dan akan anda dapati daripada blog ini? Sekiranya Susor Galor menghimpunkan galian dan hasil pembacaan saya berkenaan dengan misteri bangsa khususnya bangsa Melayu melalui buku-buku tulisan orientalis, Blog Sulit & Rahsia pula akan memuat dan merekodkan segala hasil pembacaan saya berkenaan dengan penemuan arkeologi dan artifak-artifak kuno dari seluruh dunia daripada sumber-sumber yang sahih.

4. Apa yang menariknya tentang arkeologi dan artifak-artifak kuno dari seluruh dunia? Sebagaimana yang kita tahu, dunia ini penuh dengan seribu satu misteri dan sejarah yang masih belum disingkap. Ada yang tertanam didasar bumi, terdampar didasar lautan dan diselimuti oleh hutan-hutan tebal yang masih belum diterokai. Kesemua ini adalah sejarah yang wajar diketengahkan kepada umum.

5. Kita pernah membaca tentang penemuan-penemuan peradaban-peradaban kuno seperti Aztec, Maya mahupun Inca, monumen-monumen era klasik seperti piramid-piramid Giza, tembok besar China dan Kota Teotihuacan sehingga ke arca dan artifak kecil seperti bateri Baghdad, mekanisme Antikythera dan Cawan Lycurgus. Penemuan-penemuan menarik ini diperdebat dan diperbincangkan oleh para sarjana dari seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Komputer analog Antikythera yang dijumpai pada 1902.
6. Ada diantara monumen-monumen dan artifak-artifak yang disebut diatas tampak begitu moden sehingga memeningkan para sarjana. Ambil Mekanisme Antikythera sebagai contoh, sehingga ke hari ini para sarjana tidak dapat membuat kesimpulan berkenaan dengan asal usul serta fungsi artifak moden yang berumur ribuan tahun ini.

7. Sehingga ada (baca: ancient astronout theorists) yang mula memperkenalkan hipotesis tidak masuk akal yang mengatakan ianya adalah tinggalan makhluk asing dan sebagainya. Mereka seolah-olah terperangkan dengan teori Darwin justeru memandang rendah terhadap peradaban-peradaban kuno. Secara peribadi, saya menolah pandangan-pandangan absurd ini. 

8. Manusia adalah makhluk yang istimewa, yang dikurniakan akal fikiran oleh Sang Pencipta. Kreativiti dan inovasi adalah hasil penggunaan akal fikiran yang sihat. Sekiranya kita boleh mencapai satu tahap kemodenan sebagaimana yang ada pada hari ini didalam jangka masa kurang dari 1000 tahun, masakan era klasik yang berusia lebih lama daripada itu tidak mampu?

Monumen Sungai Batu, Merbok, Kedah.
9. Setiap hari, ada sahaja penemuan-penemuan terbaru yang direkodkan oleh para sarjana. Ada yang digembar-gemburkan dan ada yang tidak mendapat liputan. Apatah lagi dengan sejak beberapa hari ini, dengan penemuan-penemuan unik di Sungai Batu, Kedah, minat sebahagian daripada rakyat Malaysia terhadap sejarah dan peradaban kuno seolah-olah diperbaharui.

10. Oleh yang demikian, menerusi blog kecil ini, saya berharap agar dahaga para pembaca untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkenaan dengan arkeologi, peradaban dan budaya kuno, tidak kira dari mana, dapat dipuaskan. Ayuh.